MELAKA 27 Sept. - Seramai 150 pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) termasuk 108 tentera Amerika Syarikat (AS) berjaya melaksanakan Eksesais Keris Strike Siri 15 (EKS 2011) yang berlangsung di Kem Terendak, Sungai Udang di sini, yang berakhir hari ini.
Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad berkata, eksesais selama 12 hari itu melibatkan gabungan anggota tentera darat kedua-dua negara yang bertujuan memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan AS di samping memberi pendedahan mengenai pelaksanaan misi pengaman.
''Latihan bilateral tahunan itu bertujuan memberi pengalaman dan pendedahan mengenai pelaksanaan operasi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
''Selain itu ia juga bertujuan menilai prosedur latihan bersama dan aspek logistik, perubatan dan perhubungan kedua-dua pihak," katanya selepas menutup EKS 2011 di Kem Terendak, Sungai Udang dekat sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pemerintah Pasukan Tentera Simpanan AS, Mejar Jeneral William G Beard.
Menurut Razali, antara pengisian latihan selama 12 hari itu adalah meningkatkan hubungan dan persefahaman yang baik antara TDM dan tentera AS termasuk melalui program khidmat masyarakat di Perkampungan Orang Asli Solok Terentang, Jasin.
Sementara itu, Beard berkata, dalam latihan itu, anggota tentera kedua-dua negara dapat bertukar fikiran serta memupuk semangat berpasukan dan keseronokan latihan bersama yang menjadi antara faktor kejayaan dalam eksesais berkenaan.
No comments:
Post a Comment