Nadirasa, Tentera Darat terbit drama Platun Harimau
[UTUSAN MALAYSIA 19 FEB 2011]KUALA LUMPUR 18 Feb. - Diadaptasi daripada sebuah novel perang bertajuk Platun Harimau, Nadirasa Budaya (M) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Tentera Darat menerbitkan sebuah drama bersiri bertajuk Platun Harimau.
Drama dengan tema 'Hutang Darah dibayar Darah' itu diangkat daripada kisah benar unit skuad kombat Tentera Darat dalam mempertahankan negara dari ancaman komunis sepanjang 1987 hingga 1988.
Platun Harimau yang diadaptasi daripada novel perang karya Leftenan Kolonel Mohd. Radzi Abd. Hamid yang juga ketua skuad kombat terbabit bakal ditayangkan sebanyak 13 episod di RTM1 bermula 1 Mac ini sempena Hari Ulang tahun Tentera Darat ke-78.
Penerbit drama bersiri itu, Razali Mohd. Yussof berkata, drama Platun Harimau itu bertujuan menyedarkan generasi muda bahawa komunis adalah pengganas yang bertindak kejam kepada rakyat negara ini.
"Tentera Darat khususnya askar Melayu telah berjuang menentang komunis dan ramai yang terkorban, tercedera, cacat penglihatan dan sengsara hingga ke saat ini. Bangkitlah anak-anak Malaysia menentang golongan yang memperjuangkan komunis," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran drama tersebut oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd. Zin di Dewan Bunga Tanjung, Wisma Transit, di sini hari ini.
Hadir sama timbalannya, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zulkefli Zainal Abidin dan Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi.
Drama Platun Harimau adalah cerita sebenar yang dilalui Tentera Darat melalui Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sekitar 1980-an yang menerima tentangan hebat pengganas komunis yang dikenali sebagai 'Black Jacket'.
Seramai 16 perajurit gugur di medan perang di Daerah Gubir, di utara Perak bersempadan dengan Betong (wilayah Siam) yang merupakan kawasan hitam pengganas komunis Black Jacket yang diketuai oleh Chong Woo.
Razali berkata, drama yang menjalani penggambaran sekitar kawasan hutan di Tapah, Perak dan Kem Sungai Udang serta Kem Terendak di Melaka itu dibarisi pelakon seperti Zul Huzaimi, Norman Hakim dan Yatt Hamzah.
Sementara itu, Mohd. Radzi berkata, novel Platun Harimau merupakan pengalaman yang mampu membawa masyarakat khususnya golongan remaja mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi terutama apabila ia menyentuh soal keselamatan negara.
"Remaja sekarang harus sedar mereka mempunyai tanggungjawab dan dalam memberikan sumbangan yang bermanfaat dan bermakna kepada negara kita selain mementingkan semangat setiakawan," katanya.
No comments:
Post a Comment