" Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. " (Surah Ar-Rum : 21)

Daisypath - Anniversary

Friday, July 22, 2011

Wira yang tak didendang


HARI Sabtu 9 Julai lalu sepatutnya menjadi hari santai untuk berkumpul bersama keluarga, saudara mara dan sahabat handai setelah lima hari penat bekerja.

Malah, ada yang memilih hari itu untuk mengadakan majlis kahwin, sambutan ulang tahun, majlis amal dan pelbagai lagi acara santai untuk mengeratkan hubungan sesama insan.

Bagaimanapun, tanggal itu, orang ramai meluahkan rasa kecewa dan marah apabila majlis dan program yang dirancang rapi beberapa bulan lalu, akhirnya 'rosak' kerana tiada jemputan yang hadir.

Semuanya gara-gara kedegilan, keangkuhan dan sikap mementingkan diri pihak penganjur perhimpunan haram diketuai Datuk S. Ambiga yang meneruskan rancangan untuk berarak dan berhimpun secara haram di sekitar ibu negara.

Secara hipotesisnya, mereka sedia maklum jalan-jalan menuju Stadium Merdeka telah disekat selepas pihak polis mengesahkan tiada permit diluluskan untuk perhimpunan tersebut. Hipotesis kedua, segala strategi yang diatur rapi tersebut adalah semata-mata untuk mempengaruhi orang ramai bahawa ideologi mereka 'paling benar' selain untuk mendapat publisiti serta menunjukkan pengaruh, kekuatan kepada pihak berkuasa.

Hipotesis ketiga, penganjur perhimpunan haram tersebut merancang untuk ditahan bagi menunjukkan kekejaman pihak berkuasa dan menimbulkan kemarahan orang ramai kepada kerajaan.



Percaturan dan permainan psikologi mereka sudah dikesan awal oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga semua lokasi strategik dikawal rapi selain mengadakan sekatan membabitkan hampir 60 jalan raya utama ke pusat bandar.

Walaupun tanpa sebarang publisiti, pujian atau ucapan terima kasih yang menggunung tinggi, pihak polis tetap terus berdiri dalam apa jua keadaan mempertahankan tanah air tercinta daripada sebarang ancaman dan anasir yang boleh mengganggu gugat ketenteraman negara.

Hakikatnya, pejuang yang tidak dijulang itu telah berjaya melumpuhkan agenda berbaur politik dan campur tangan pihak luar penganjuran perhimpunan haram sejak berbulan-bulan direncanakan itu dalam tempoh tidak sampai enam jam.

Sepanjang perhimpunan itu, anggota polis yang ditugaskan mengawal keselamatan di Dataran Merdeka dan Stadium Merdeka banyak bersabar, meskipun mereka dihamburkan dengan kata-kata kesat oleh penunjuk perasaan.

Malah, juga perlu ingat, kebanyakan anggota dan pegawai polis yang terlibat, baik Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan anggota dan pegawai polis biasa bertugas bukan sahaja bertugas pada tarikh 9 Julai sahaja.

Sebaliknya, mereka mula sibuk sejak petang Jumaat 8 Julai itu sehingga membawa ke awal pagi Ahad iaitu 10 Julai.

Tanpa mengharap sebarang balasan dan ucapan terima kasih, pejuang negara itu berdiri teguh dalam keadaan sejuk, panas dan dibasahi hujan seawal pukul 5 pagi di semua jalan utama menghala ke pusat bandar sehingga misi selesai.

Pihak polis bukan sahaja berjaya mengawal kesejahteraan tanah air, malah jumlah sokongan peserta tidak sampai sasaran sebenar iaitu 300,000 seperti yang dicanang pihak penganjur kerana yang hadir cuma 10,000 orang.

Jika diberi perbandingan matematik mengikut populasi penduduk Malaysia yang mencecah 27 juta dan jumlah sokongan Bersih, jelas membuktikan lebih 90 peratus rakyat negara ini mengambil keputusan untuk tidak terlibat dengan perhimpunan haram itu. Dalam erti kata lain ia adalah satu kejayaan besar pihak berkuasa.

Kebijaksanaan wira negara ini dalam mengawal keadaan sekali gus menyekat perhimpunan haram itu dilangsungkan wajar mendapat pujian.

Mereka dicaci kumpulan penunjuk perasaan, namun masih bersabar. Tindakan hanya diambil apabila kumpulan perusuh itu enggan bersurai apabila diarahkan.

Malah, semua penunjuk perasaan yang ditahan untuk dirakamkan percakapan diberi kemudahan menunaikan solat dan dijamu makanan ketika berada di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak.

Ia bukan satu perkara mudah untuk dilaksanakan. Namun, berbekalkan ketahanan mental dan fizikal serta perancangan rapi daripada pihak pucuk pimpinan dan semua warga PDRM telah membuktikan barisan pertahanan negara mampu menangani segala situasi pada hari tersebut.

Ini terbukti tiada satu lokasi yang dirancang oleh pihak penganjur tidak diberi kawalan keselamatan dan pemantauan sewajarnya, sehingga berjaya melumpuhkan misi perhimpunan haram itu.

Sebagai menghargai jasa PDRM, seluruh rakyat Malaysia mengucapkan terima kasih kepada mereka. Walaupun ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan tindakan anda, namun anda tetap wira yang tidak didendang.



No comments: