" Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. " (Surah Ar-Rum : 21)

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
Daisypath Friendship tickers
Daisypath Friendship tickers

Monday, August 15, 2011

Transformasi inklusif mantapkan kuasa tempur



UTUSAN: Boleh ceritakan karier ketenteraan Datuk sebelum menjadi Panglima Tentera Darat?

Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana telah dimurahkan rezeki dan diberikan kepercayaan untuk menerajui angkatan tentera kita.

Saya memulakan perkhidmatan pada 5 Januari 1978 sebagai Pegawai Kadet Tauliah Jangka Pendek di Maktab Tentera Diraja sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dengan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Saya pernah menyandang jawatan pemerintah, jurulatih dan staf antaranya Ketua Cawangan Senjata, Pegawai Memerintah ke-6 dan 24 RAMD, Komandan Lapang Sasar Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Asisten Ketua Staf Markas Tentera Darat Cawangan Penyelidikan dan Pembangunan, Panglima Markas 7 Briged di Johor, Asisten Ketua Staf Perancangan Pertahanan Markas ATM, Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Timbalan Panglima Tentera Darat.




TEGAP BERDIRI... Panglima ATM, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin (dua dari kiri) bersama tiga cabang Panglima ATM dari kiri Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud ketika Perbarisan Perintah Ulung di Dataran PTD, Kem Sungai Besi Kuala Lumpur baru-baru ini.


Apabila dilantik sebagai Panglima Tentera Darat, apa perasaan Datuk ketika menerima tanggungjawab itu?

Alhamdulillah, saya melafazkan kesyukuran ke hadrat Allah Taala kerana dengan kurnia dan hidayah-Nya, saya telah diberi mandat sebagai Panglima Tentera Darat ke-24.

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad serta pucuk pimpinan ATM kerana telah memberi penuh kepercayaan kepada saya.

Saya juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM kerana telah memperkenan pelantikan ini. Saya juga merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Tentera Darat dan rakan-rakan di atas doa mereka.

Sesungguhnya, pelantikan ini adalah satu mandat, amanah dan tanggungjawab yang besar dan saya menerimanya dengan penuh keinsafan dan kesedaran. Harus saya akui bahawa saya tidak pernah menyangka, dalam perjalanan karier sebagai seorang pegawai tentera, saya akan menjadi Panglima Tentera Darat.

Saya percaya jika kita pikul tanggungjawab dan amanah ini bersama, yang ringan akan kita jinjing yang berat dapat kita pikul, malah lautan api juga tidak mustahil kita renangi. Insya-Allah

Apakah strategi yang akan Datuk gunakan untuk memperkasakan mutu perkhidmatan Tentera Darat?

Saya telah menggariskan beberapa pendekatan khusus menerusi Perintah Ulung saya baru-baru ini untuk memperkasakan lagi mutu perkhidmatan Tentera Darat. Selaras dengan Perintah Ulung itu, kesinambungan pemerintahan terdahulu akan saya teruskan.

Bagaimanapun, beberapa transformasi akan dilakukan untuk memantapkan Tentera Darat yang inklusif serta membangunkan semangat kesatuan 1 Jiwa Tentera Darat.

Secara amnya, terdapat lima topik utama ke arah pendekatan tersebut iaitu Kelangsungan Visi Mengekal Tradisi, Transformasi Inklusif Mengekal Relevansi Tetap Diungguli, Sahsiah Diri Prestasi Tentera Darat, Satu Jiwa Enam Akal Budi dan Tekad, Doa, Restu, Tawakal dan Restu Hala Tuju Yang Jitu Dituju.

Fokus utama adalah berpandukan kdua dimensi utama iaitu kesiagaan tempur dan kualiti hidup untuk menjadikan Tentera Darat sebagai sebuah ketumbukan serba moden dan berkebolehan dalam mempertahankan kedaulatan serta keutuhan negara pada sebilang masa.

Bagaimana mencari kaedah terbaik bagi menyediakan sebuah pasukan berwibawa dari aspek strategik dan taktikal supaya peranan mempertahankan negara dapat dilaksanakan dengan sempurna?

Pendekatan yang saya syorkan adalah penumpuan terhadap latihan ketenteraan, membina modal insan, pembentukan keutuhan aspek kognitif dan minda serta memperlengkapkan Tentera Darat agar mapan melaksanakan segala tugasan yang diamanahkan dengan cemerlang.

Fokus adalah kepada manusia, mesin dan kaedah yang perlu digabungkan untuk menghasilkan output dan end state yang meningkatkan kecemerlangan dan profesionalisme organisasi.


Apakah yang perlu diperbaiki oleh Tentera Darat supaya dapat membentuk satu pasukan yang lebih mantap?

Asas kewujudan dan pengertian prestasi Tentera Darat adalah mengenai persoalan tahap kesiagaan tempur. Ia mengenai kemampuan Tentera Darat mempertahankan tanah air, khususnya ancaman dari luar.

Pada masa aman, Tentera Darat sentiasa berlatih meningkatkan kuasa tempur agar kerajaan dan masyarakat yakin mereka mempunyai pasukan yang mampu memberi perlindungan sebagai payung keselamatan. Justeru di masa aman, gerak geri perlakuan setiap individu warga Tentera Darat mencerminkan kemampuan kesiagaan tempur.

Tahap dan prestasi kesiagaan tempur adalah mengenai kewibawaan tiga elemen kuasa tempur iaitu daya tembak, daya gerak dan daya juang atau moral.

Elemen daya tembak dan daya gerak adalah elemen ketara berunsurkan faktor fizikal yang nyata, sementara daya juang adalah elemen tidak ketara berunsurkan faktor spiritual yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar kecuali melalui refleksi akal budi seseorang anggota.

Sejarah mengajar kita bahawa penumpuan yang hanya menjurus kepada salah satu elemen ini, sama ada elemen ketara atau tidak ketara adalah satu kelemahan kuasa tempur dalam melaksanakan sesuatu misi ketenteraan. Justeru pemerintahan saya akan mengutamakan keseimbangan pengurusan kedua-dua elemen ini.

Faktor wujud dulu kepada kuasa tempur ialah keseimbangan simbiosis yang saling melengkapi di antara faktor manusia, mesin dan kaedah.

Justeru, menjadi harapan saya agar kajian-kajian mengenai trilogi tersebut diberi perhatian lebih serius secara berterusan, terutamanya di Institusi dan pusat latihan tentera darat.

Saya juga meletakkan kepercayaan kepada semua lapisan kepemimpinan agar sentiasa berpandangan jauh bagi melaksanakan kajian-kajian terhadap keperluan ketenteraan dalam pelbagai situasi semasa dan masa hadapan.

Apakah perkara yang sering menjadi cabaran kepada Tentera Darat?

Pertama ialah isu peruntukan kewangan yang merupakan cabaran yang perlu saya akui dan terima dalam usaha melaksanakan latihan, program serta pembangunan Tentera Darat. Namun ia bukan alasan untuk pasukan meneruskan segala perancangan mengikut keutamaan dan peruntukan yang diperoleh.

Kedua, kepelbagaian jenis corak tugas memerlukan Tentera Darat sentiasa berubah agar semua tugas yang diamanahkan dapat dilaksanakan demi kepentingan negara dan rakyat.

Tentera Darat dilihat sebagai ejen perubahan dan memerlukannya sentiasa bersiap sedia membantu pihak tertentu tidak kira dalam apa bentuk sekalipun dalam lingkungan kemampuannya.

Terakhir, mengekalkan mutu serta tahap profesionalisme setiap warga Tentera Darat yang telah diamanahkan untuk mempertahankan negara kita.


Pada pandangan Datuk, apakah transformasi yang akan berlaku pada Tentera Darat dalam10 tahun lagi ?

Transformasi Tentera Darat dalam 10 tahun akan datang adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik Army 2 10 Plus 10 serta Pelan Pembangunan ATM Dimensi ke-4 atau 4D MAF yang menyasarkan untuk menjadikan Tentera Darat sebagai sebuah ketumbukan yang serba moden dan mempunyai ciri-ciri khusus untuk melaksanakan tugas dalam konteks pelbagai spektrum konflik.

Ilmu pengetahuan penting dalam melahirkan pemimpin berkemampuan tinggi dan dapat memberi sumbangan bermakna kepada ATM, apa pendekatan Datuk dalam memastikan elemen ilmu terus menjadi teras pembangunan organisasi tentera?

Saya memfokuskan pada pembangunan keupayaan kognitif dan intelektual warga Tentera Darat. Kita akan terus menggalakkan usaha setiap warga tentera untuk melanjutkan pelajaran ke beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan luar negara menerusi Skim Pengajian Tinggi ATM dan Program K-Force. Di samping itu, Tentera Darat akan terus menerima graduan UPNM untuk memenuhi kuota pengambilan pegawai ke dalam organisasi ini.

Elemen ilmu pengetahuan juga ditetapkan sebagai satu kriteria utama dalam pengurusan sumber manusia dan diberi keutamaan dalam aspek kenaikan pangkat dan penempatan kerja untuk setiap warga tentera darat.

Apa perancangan Datuk untuk memastikan jenama Malaysia terus terlibat dalam pelbagai misi kemanusiaan yang memberi manfaat kepada masyarakat sejagat?

Saya akan terus menyokong usaha kerajaan membantu negara-negara tertentu dalam pelbagai misi kemanusiaan di bawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan bersama kerajaan ke arah mencapai Keamanan Global.

Selain pengalaman dan latihan 'on the job training' (OJT) yang diperoleh setiap individu yang menyertai misi tersebut, warga Tentera Darat juga akan menimba pengetahuan dan pengalaman yang sewajarnya dalam konteks kerjasama antarabangsa dengan pasukan negara lain.


Penglibatan anggota tentera juga berkembang sebagai ejen pembangunan termasuk meningkatkan mobiliti sosial, membuka peluang perniagaan dan menyediakan infrastruktur kepada rakyat, apa peringkat seterusnya bagi Tentera Darat?

Tentera Darat sebagai sebuah organisasi inklusif, turut menyokong program yang dianjurkan oleh kerajaan seperti Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu program kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara dan agensi lain yang berganding bahu menjana kepada keselamatan dan pembangunan negara.

Program NBOS dilihat sebagai satu usaha positif yang melalui kerjasama strategik itu, kerajaan dapat menjimatkan kos dan seterusnya lebih banyak projek pembangunan negara dapat dilaksanakan.

Melalui program itu juga, hubungan yang lebih erat dapat dijalinkan di kalangan agensi kerajaan dalam menghasilkan output lebih berkesan demi kebaikan dan faedah semua pihak.

Apa saranan Datuk kepada warga Tentera Darat?

Saya menyarankan warga Tentera Darat berpegang pada kualiti hidup sebagai salah satu faktor utama membangunkan elemen ketiga kuasa tempur Tentera Darat iaitu daya juang ketenteraan.

Ia merupakan tahap keyakinan, ketabahan, pengorbanan dan sikap keberanian yang tinggi bagi melaksanakan tugas pasukan.

Tahap daya juang seseorang anggota ditentukan oleh pengertian kehidupan, sama ada kehidupan ini untuk diri kita sahaja, keluarga, pasukan, agama, bangsa atau negara. Individu yang mempunyai tahap daya juang bersendikan pasukan dan kenegaraan semestinya berbeza dengan pengertian kehidupan anggota yang bersendikan material semata-mata.

Justeru, saya menyeru kepada setiap warga Tentera Darat agar sentiasa membangun dan menyuburkan tahap daya juang yang bersendikan kenegaraan 1Malaysia yang mampu mewujudkan Tentera Darat sebagai 1Angkatan, tetap gagah, tetap setia bagi mendukung aspirasi rakyat dan kedaulatan negara.

sumber: utusan online



No comments: