" Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. " (Surah Ar-Rum : 21)

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
Daisypath Friendship tickers
Daisypath Friendship tickers

Thursday, November 17, 2011

Cara Mendoakan Pasangan Pengantin

Anjuran Supaya Mendoakan Pasangan Pengantin

Di antara keindahan di dalam Sunnah adalah mendoakan kebaikan, keberkahan, dan memohonkan keampunan buat pasangan pengantin serta mendoakan untuk orang yang mengundang ke majlis makan (walimah). Di antara doa-doa yang disunnahkan kepada kita untuk berdoa dengannya adalah sebagaimana berikut:

Doa untuk pasangan pengantin:

Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w jika memberikan ucapan doa kepada seseorang yang berkahwin, beliau akan berkata:

بَارَكَ اللهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ

“Semoga Allah memberikan keberkahan kepadamu, memberikan keberkahan atasmu, dan menyatukan kamu berdua di dalam kebaikan.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 2130. Hadith ini dinilai sahih oleh at-Tirmidzi dan ath-Thusi sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Albani di dalam Adabuz Zifaz)


Rasulullah s.a.w berkata kepada ‘Abdurrahman bin ‘Auf:

بَارَكَ اللهُ لَكَ

“Semoga Allah memberkahimu…” (Hadith Riwayat al-Bukhari, no. 5169)


Doa ketika Rasulullah menikahkan ‘Ali dengan Fatimah:

اَلَّهُمَّ بَارِكْ فِيْهِمَا، وَبَارَكَ لَهُمَا فِيْهِمَا فِيْ بِنَائِهِمَا

“Ya Allah, berkahilah mereka berdua dan berkahilah perkahwinan mereka berdua.” (Diriwayatkan oleh ath-Thabrani di dalam al-Kabir. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 160, Media Hidayah)


Doa untuk orang yang mengundang makan:

Rasulullah s.a.w mendoakan untuk Abdullah bin Busr r.a dan keluarganya (ayahnya) di ketika dia selesai dijamu makanan:

اَلَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِي مَا رَزَقْتَهُمْ، وَاغْفِر لَهُمْ، وَارْحَمْهُمْ

“Ya Allah, berkahilah mereka pada rezeki yang telah Engkau berikan kepada mereka dan ampunilah mereka serta rahmatilah mereka.” (Hadith Riwayat Muslim, no. 1615)

Dan dianjurkan bagi mereka yang diundang untuk mengucapkan terima kasih di atas undangan yang diberikan. Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak bersyukur kepada Allah, orang yang tidak berterima kasih kepada manusia.” (Hadith Riwayat Abu Daud, no. 4811)


Mengucapkan Ucapan Yang Tidak Disyari’atkan

Adalah tidak dibenarkan meninggalkan ucapan-ucapan (doa) yang telah sedia dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w seperti yang disebutkan di atas, lalu diganti dengan ucapan-ucapan yang tidak sewajarnya. Sebagai contoh, pada masa ini begitu ramai yang mempopularkan bentuk-bentuk ucapan seperti:

“Selamat pengantin baru.”

“Semoga bahagia dan mendapat ramai anak.”

Ada pun sebenarnya, ucapan-ucapan seperti ini telah pun disentuh oleh para ulama sejak awal lagi. Di antaranya al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menjelaskan: “Perkataan ini biasa diucapkan oleh orang-orang jahiliyyah sehingga ucapan ini dilarang.” (Fathul Bari, jil. 9, m/s. 222. Rujuk: Abu Hafsh Usamah, Panduan Lengkap Nikah, m/s. 232, Pustaka Ibnu Katsir)

Ini adalah kerana, Rasulullah s.a.w sendiri telah melarang perbuatan seperti itu sebagaimana yang dijelaskan oleh ‘Uqail bin Abu Thalib. Ini berlaku di ketika ‘Uqail berkahwin dengan seorang wanita dari suku Jasyam. Lalu orang-orang yang mengunjunginya mengucapkan: “Semoga bahagia dan mendapat ramai anak.”

‘Uqail pun berkata, “Janganlah kamu mengucapkan seperti itu (kerana Rasulullah telah melarangnya).” Mereka pun bertanya, “Jadi, apa yang harus kami ucapkan, wahai Abu Zaid?” ‘Uqail berkata, “Ucapkanlah: Semoga Allah memberkahimu di dalam kesenangan atau pun kesusahan”. Begitulah kita diperintahkan. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah, ‘Abdurrazzaq, Ahmad. Rujuk: al-Albani, Adabuz Zifaf, m/s. 162, Media Hidayah)

No comments: