" Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. " (Surah Ar-Rum : 21)

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers
Daisypath Friendship tickers
Daisypath Friendship tickers

Thursday, December 15, 2011

'Saingan' sengit di LIMA 2011

SEPERTI juga penganjuran edisi-edisi sebelum ini, pastinya tarikan utama Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) adalah pada pertunjukan udara.

Aksi-aksi hebat dan mendebarkan yang dipamerkan oleh pesawat di udara mengujakan para pengunjung.

Namun, pertunjukan udara di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) pada LIMA 2011 agak berbeza.

Ramai yang menyifatkan pertunjukan kali ini lebih menarik khususnya oleh jet-jet pejuang tentera udara luar negara seperti Eurofighter Typhoon (United Kingdom), F/A18E Super Hornet (Amerika Syarikat), Rafale (Perancis) dan F-16C (Singapura).

Kesungguhan pesawat berkenaan mempamerkan kehebatan dan kelebihan aset masing-masing seolah-olah mereka sedang bersaing di antara satu sama lain.

Senario itu sebenarnya tidak menghairankan kerana ia dianggap sebagai usaha syarikat-syarikat pengeluar pesawat untuk melobi kerajaan Malaysia yang sedang meneliti beberapa pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) bagi menggantikan MiG-29N yang digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

'Persaingan' tersebut juga diambil kesempatan oleh wakil-wakil media asing yang membuat liputan untuk menganalisis keistimewaan pesawat itu memandangkan beberapa negara lain di rantau ini seperti India dan Jepun juga sedang meneliti beberapa model MRCA untuk dibeli.

Tidak kurang hebatnya ketangkasan juruterbang-juruterbang TUDM memperlihatkan pelbagai aksi dengan pesawat Sukhoi SU-30 MKM dan MiG-29N.





Kebolehan anak-anak tempatan itu setanding malah tidak keterlaluan jika dikatakan ada beberapa aksi yang dipertontonkan mereka lebih baik daripada juruterbang asing.

Jika tidak, masakan ada delegasi asing yang menyangka jet-jet pejuang TUDM yang mengambil bahagian dalam pertunjukan bukan diterbangkan oleh anak tempatan.

Paling ditunggu-tunggu juga adalah kemunculan pertama kali pasukan aerobatik kebangsaan Krisakti yang menggunakan pesawat Extra 300L.

Selain itu, pesawat peninjau Dornier 228-212 dan helikopter tempur, Tiger HAD juga mengadakan pertunjukan udara.

Tidak cukup dengan persembahan aerobatik, pengunjung juga berpeluang melihat dari dekat pesawat-pesawat yang dipertontonkan secara statik seperti Gripen (Tentera Udara Thailand), KC-30A (Tentera Udara Australia), AW149 (Agusta Westland) dan S92 (Sikorsky) serta milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antaranya F/A18D, Hawk 108/208, MB 339CM, CN 235, Super Lynx, Fennec dan Agusta 109.

Sementara di Awana Porto Malai, iaitu tempat berlangsung segmen air juga tidak kurang hebatnya.

Demonstrasi oleh agensi-agensi kerajaan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ternyata memberi kepuasan kepada setiap orang yang hadir.

Selain demonstrasi, orang ramai membanjiri kawasan tersebut untuk menaiki kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seperti KD Lekiu, KD Jebat, KD Mahawangsa, KD Selangor, KD Kelantan, KD Kinabalu dan KD Laksamana Tun Pusmah.

Kapal-kapal perang asing yang mengambil bahagian pula antaranya USS Curtis Wilbur (Amerika Syarikat); ROKS Kang Gam Chan dan ROKS Chun Ji (Korea Selatan); RSS Supreme (Singapura); PNS Saif (Pakistan); INS Kora dan INS Baratang (India) serta BNS Dhaleshwari (Bangladesh).

Penganjuran LIMA 2011 mencatat sejarah tersendiri apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records dengan jumlah kehadiran pengunjung paling ramai iaitu 125,000 orang.

Sememangnya LIMA merupakan pameran udara dan maritim terhebat di rantau ini.

Justeru, usaha-usaha harus dipergiatkan agar LIMA terus gemilang sebagai salah satu usaha menjadikan negara sebagai hab industri pertahanan.




sumber: utusan malaysia online





No comments: