SUASANA di dalam bilik rahsia yang menempatkan Pusat Kawalan dan Sistem Pengawasan (JRCC) Op Pasir, tiba-tiba bertukar 'wajah' apabila operator memaklumkan radar milik Angkatan Tentera Bersama (ATB) mengesan sebuah bot mencurigakan memasuki perairan Pantai Timur Sabah.
Arahan kemudian dikeluarkan agar pesawat tanpa juruterbang (UAV) Aludra MK II, yang ketika itu sedang membuat rondaan rutin di sekitar perairan Sabah, dikejar ke lokasi kejadian bagi mengenal pasti 'identiti' sebenar bot 'penceroboh', dengan hanya memasukkan koordinat lokasi 'suspek' dari pusat kawalan.
Sebaik koordinat diterima, Aludra terus terbang menuju ke sasaran. Pada masa yang sama, arahan juga dikeluarkan agar bot tempur dan kapal peronda ATB serta sebuah helikopter Nuri yang sepanjang masa berada dalam siap siaga di Lapangan Terbang Tawau, supaya bersedia untuk bertindak jika keadaan memerlukan.
Dua minit kemudian, imej pertama bot 'penceroboh' berjaya dirakam menggunakan kamera beresolusi tinggi Aludra dan imej tersebut dipaparkan secara langsung di monitor JRCC tetapi disebabkan keadaan awan yang tebal, imej menjadi kurang jelas, memaksa dua bot tempur ATB diarah memintas bot 'penceroboh' itu.
Akhirnya dalam masa kurang tujuh minit sebaik sahaja bot 'penceroboh' dikesan memasuki perairan Pantai Timur Sabah, 'suspek' berjaya dipintas dan siasatan mendapati bot itu sebenarnya milik nelayan tempatan, bukannya musuh yang berniat mahu mencabuli kedaulatan perairan negara.
Dengan serta-merta, skuad bot pemintas yang pada mulanya meluncur laju diiringi 'mood' perang menukar perwatakan kerana program jiwa murni dengan bertanya khabar kepada kumpulan nelayan tempatan itu sebelum kembali semula ke pangkalan yang terletak di Samporna.
Demikian senario kecekapan dan kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengawal perairan negara khususnya di Pantai Timur Sabah sejak Op Pasir (Operasi Pandanan dan Sipadan Island Resort) dilancarkan 11 tahun lalu, selepas terjadinya insiden penculikan oleh kumpulan Abu Sayyaf.
Demonstrasi tersebut khususnya mengenai kewujudan JRCC, yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai sulit buat pertama kalinya didedahkan kepada media, sempena lawatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama pengarang kanan ke kawasan operasi Op Pasir di Sabah baru-baru ini.
Lebih menarik, pada ketika semua mata petugas media terarah pada monitor besar yang menunjukkan 'bot penceroboh', di sebuah monitor lain pula terpapar imej kapal perang Indonesia, yang berada di sekitar perairan Ambalat dan ini menunjukkan, setiap inci perairan negara sentiasa diawasi pihak keselamatan.
Ia sekali gus menyuntik keyakinan kepada seluruh warga media yang mengikuti rombongan tersebut bahawa angkatan bersenjata negara ini bukan sahaja memiliki disiplin dan kecekapan yang tinggi, tetapi pelbagai aset canggih sebenarnya telah ditempatkan di perairan Pantai Timur Sabah, secara 'diam-diam' oleh pihak berkuasa.
Antara peralatan terbaru ialah penempatan 12 buah radar di sepanjang 'laluan panas' dengan kemampuan mengesan sebarang pergerakan kapal mahu pun bot kecil, pada jarak 100 kilometer (km) selain. enggunaan dua buah UAV ciptaan syarikat pertahanan tempatan iaitu dari Aludra dan Fulmar.
Pada masa yang sama, sesuai dengan skop Angkatan Tentera Bersama, sebarang operasi Op Pasir disokong oleh aset-aset tempur milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Pasukan Khas Laut (Paskal) yang diiktiraf sebagai antara pasukan khas terbaik di dunia.
Kesemua aset tersebut kemudian diatur gerak dari sebuah bilik rahsia yang menempatkan JRCC dan selaku 'otak' kepada keseluruhan operasi Op Pasir, JRCC dibangunkan hasil kombinasi antara teknologi ciptaan syarikat perisian pertahanan tempatan, System Consultancy Services (SCS) dengan teknologi Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, walaupun Op Pasir diwujudkan bagi tujuan menangani ancaman kumpulan Abu Sayyaf tetapi sebenarnya ia lebih bersifat serampang dua mata, khususnya ketika banyak negara menjangka konflik bersenjata bakal meletus di Laut China Selatan ekoran, masalah tuntutan bertindih di kepulauan Spratly.
Jadi, selaku salah sebuah negara yang turut menuntut hak di kepulauan itu, Malaysia tidak ketinggalan membuat segala persiapan terutama dari segi ketenteraan, memandangkan iklim di Spratly ketika ini begitu panas, ekoran sikap agresif yang ditunjuk China. Medan terbaik ialah mempersiapkan diri adalah melalui Op Pasir.
Maka tidak hairanlah apabila Ahmad Zahid sendiri memberitahu bahawa Kementerian Pertahanan bersedia memperluaskan kawasan operasi Op Pasir serta keupayaan Markas Angkatan Bersama (MAB), bagi meningkatkan lagi keselamatan kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara di perairan Laut China Selatan.
"Tanggungjawab lebih luas akan diberi kepada MAB. Buat masa ini kawasan di bawah kawal selia MAB meliputi 22 pulau dan 11 kawasan pesisiran pantai sepanjang 1,577 kilometer dari Tawau hingga Kudat. MAB akan dipertanggungjawab untuk memperluaskan operasi ke Laut China Selatan selepas ini.
"Ini kerana terdapat kemungkinan perairan Laut China Selatan bakal menyaksi meletusnya konflik bersenjata ekoran tuntutan bertindih dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang jika masalah di kepulauan Spratly gagal ditangani dengan bijak oleh semua negara yang terlibat," katanya.
sumber: utusan malaysia
No comments:
Post a Comment