|
KUALA LUMPUR 13 April - Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin hari ini dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersama yang baharu menggantikan Laksamana Madya Datuk Jamil Osman.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Azizan Ariffin berkata, dengan pelantikan itu, Jamil akan mengambil tempat Ahmad Kamarulzaman sebagai Panglima Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menurutnya, proses pertukaran jawatan tersebut adalah perkara biasa dalam organisasi tentera dan berharap Ahmad Kamarulzaman dapat menjalankan tugas barunya sebagai Panglima Angkatan Bersama dengan baik.
"Ini merupakan proses biasa. Proses pertukaran dilakukan dari semasa ke semasa dan pada hari ini kita melihat proses pertukaran jawatan antara panglima berwibawa dalam TLDM.
"Saya mengucapkan tahniah kepada kedua-duanya dan berharap mereka dapat terus melaksanakan tugas dengan baik bagi menjaga keselamatan dan maruah negara," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis serah dan terima tugas Panglima Angkatan Bersama di sini, hari ini.
Ahmad Kamarulzaman merupakan Panglima Angkatan Bersama yang ketiga sejak jawatan itu diwujudkan pada 16 Julai 2007.
No comments:
Post a Comment