Wira 1 Renjer tetap setia
|
REJIMEN 1 Renjer pernah digeruni musuh negara satu ketika dulu kerana keupayaan mereka mengekang dan melumpuhkan pengganas komunis serta tentera negara jiran dalam konfrontasi Malaysia-Indonesia.
Era 60-an hingga 80-an merupakan tempoh kegemilangan pasukan tersebut dan kejayaan membunuh 91 pengganas dan menawan lapan musuh negara itu merupakan rekod terbaik bagi unit infantri di bawah Tentera Darat Malaysia.
Slogan Agi Idup Agi Ngelaban yang menjadi pegangan mereka masih menjadi kata-kata keramat pasukan tersebut.
Kejayaan ketika menjalankan operasi keselamatan dalam era darurat itu, seorang anggota Renjer telah dianugerahkan darjah tertinggi keberanian iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), enam dikurniakan Darjah Pingat Gagah Berani (PGB), empat anggota dikurniakan Pingat Perutusan Keberanian dan dua anggota menerima Pingat Keberanian Sarawak (PKS).
Selain itu, kerajaan negeri Sarawak juga telah menganugerahkan 'Truncheon' pada 19 November 1966 manakala Kerajaan Malaysia menganugerahkan Panji-Panji Rejimen pada 8 Oktober 1979 sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan dan pengorbanan pasukan 1 Renjer.
Bagi mengenang semula saat-saat mempertahankan negara itu, veteran 1 Renjer atau yang kini dikenali sebagai Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) bertemu semula dalam satu majlis khas di Kuching baru-baru ini.
Majlis perjumpaan semula itu telah menemukan para pegawai renjer yang berkhidmat dari 1963 hingga 1967 termasuk veteran Tentera British yang menganggotai pasukan 1 Renjer sekitar tahun tersebut.
Pihak penganjur berjaya mengumpulkan seramai 350 veteran tempatan dan 25 veteran Tentera British yang juga merupakan anggota perintis kepada penubuhan 1 Renjer.
Pertemuan bersejarah itu dicetuskan semasa pertemuan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dengan Presiden Airod Sdn. Bhd, Tan Sri Ahmad Johan bagi menghargai jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh veteran terlibat.
Ketibaan delegasi veteran Tentera British di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baru-baru ini disambut dengan tiupan serunai dan ketika itu ada yang dilihat menitiskan air mata apabila mereka disambut oleh para pegawai kanan Rejimen Renjer.
Bagi meraikan mereka, Panglima Tentera Darat telah mengadakan Majlis Ramah Mesra yang berkonsepkan tradisi warisan Sarawak dan dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional Melayu oleh Badan Kesenian Tentera Darat.
Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin berkata: ''Keamanan dan kejayaan negara yang dikecapi hingga kini adalah atas titisan darah, peluh dan air mata para perajurit yang terdahulu.''
Apa yang jelas di sepanjang majlis tersebut, keakraban veteran tempatan dan veteran tentera British amat terserlah yang terbina daripada latihan intensif dan jerit perih dalam melaksanakan tugas operasi yang melakar banyak kejayaan.
Menurut Mejar (B) Edmund Abit, kebanyakan mereka bertugas bersama di dalam beberapa kempen seperti menangani pemberontakan di Brunei, konfrantasi Malaysia-Indonesia dan membanteras pengganas Komunis di Semenanjung dan Sarawak pada pertengahan tahun 60-an.
''Operasi-operasi itu telah melahirkan beberapa pahlawan 1 Renjer seperti Awang ak Rawing (Penerima Darjah Keberanian George Cross), Kanang ak Langkau (Penerima SPPGB) serta beberapa penerima pingat PGB dan KPK lain" ujarnya.
Ketua delegasi veteran dari UK, Kol. (B) David Twiggs yang merupakan Ajutan pertama 1 Renjer pula melahirkan penghargaan kepada Ahmad Johan yang berjaya menyatukan semua bekas pegawai dan anggota 1 Renjer dari seluruh Malaysia, United Kingdom, Kanada dan Hong Kong.
Ahmad Johan merupakan bekas pegawai Tentera Darat yang ditauliahkan ke 1 Renjer pada 1966 selepas menjalani latihan Kadet di Royal School of Infantry, Kanada dan merupakan anak tempatan pertama dilantik sebagai Ajutan 1 Renjer ketika itu.
Beliau juga memuji keberkesanan kepimpinan dan perancangan latihan Pegawai Memerintah pertama 1 Renjer, Lt. Kol. Fairy Gopsill yang berjaya mewujudkan satu landasan kesatuan yang jitu di dalam kehidupan pelbagai kaum 1 Renjer ketika itu.
Fairy yang tidak dapat hadir hanya diwakili isterinya, Susan Mary Gopsill yang memberitahu, betapa gemuruh perasaannya setiap kali terdetik perkataan Sarawak dan Rangers di mindanya.
Dengan berbekalkan pengalaman jurulatih dan anggota kanan Tentera British sebagai perintis penubuhan 1 Renjer serta semangat jitu dan kesungguhan anak watan yang terkenal dengan kepakaran ilmu di hutan serta keberanian semasa bertugas dalam Sarawak Rangers, dalam masa setahun 1 Renjer telah mencapai taraf operasi dan mula ditugaskan di Sempadan Sarawak-Kalimantan.
Pengerusi Penganjur Reunion 1 Renjer Tentera Darat, Mejar Jen. Datuk Suhaimi Mohd. Zuki berkata, pertemuan itu telah merintis jambatan baru bagi veteran 1 Renjer untuk menjalin semula hubungan yang lama terputus.
''Titisan air mata kegembiraan bercampur perasaan terharu di kalangan mereka ketika bertemu semula, menggambarkan semangat setiakawan di kalangan veteran Renjer masih tetap utuh dan tidak akan luntur,'' ujarnya.
Mengambil kesempatan daripada pertemuan itu, kesemua mereka telah dibawa ke lokasi lama tempat bertugas serta ke sekitar bandar raya Kuching.
Semoga veteran Renjer dan juga para perajurit yang memakai Black Hackle akan sentiasa menyanjung tinggi dan menghayati ertikata Agi Idup Agi Ngelaban.
No comments:
Post a Comment