Menggalas imej Malaysia
|
KONTINJEN Malaysia yang sedang melaksanakan misi pengaman di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) bukan sahaja mendapat pendedahan berguna tetapi juga sanjungan daripada masyarakat tempatan di negara bergolak itu.
Ia terbukti apabila kedatangan setiap anggota pengaman Malaysia diterima baik dan disambut dengan riang .
Keadaan itu menyebabkan setiap anggota pengaman bangga menjadi rakyat Malaysia dan sentiasa menjaga adab sopan dan tatasusila diri.
Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin ketika berucap di hadapan 360 anggota MALCON EAST 6 yang diketuai Lt. Kol. Mohd. Sarmin Mohd. Sih dan 440 anggota MALBATT 3 diketuai Kol. Mohd. Nazri Abd. Rahman di Tibnin, Lebanon semasa lawatannya baru-baru ini berkata, penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi pengaman telah memberi kesan positif kepada negara.
"Ia memberi kita pengalaman dan pengetahuan dalam menghadapi konflik selain memperlihatkan Malaysia adalah negara yang prihatin dalam memelihara keamanan sejagat selaras dengan dasar pertahanan negara,'' katanya.
Dalam lawaran itu beliau sempat meninjau penempatan MALCON EAST 6 di Sektor Timur Unifil dan MALBATT 3 di Sektor Barat Unifil.
Katanya, kedua-dua kontinjen Malaysia itu berjaya melaksanakan tugas yang telah diamanahkan oleh PBB dengan jayanya dan diterima dengan baik masyarakat tempatan.
"Dengan pengalaman dan latihan yang telah dijalani setiap anggota sama ada MALCON EAST 6 mahu pun MALBATT 3 sebelum mengikuti misi ini, mereka mampu mengatasi segala cabaran dan risiko semasa,'' ujarnya.
Menurutnya, ketika penglibatan awal kontinjen Malaysia pada 2 Januari 2007, MALCON EAST 1 hanya diberikan tugas sebagai Kompeni Keselamatan kepada Markas Unifil di Sektor Timur tanpa mempunyai Kawasan Tanggung Jawab (KTJ) sendiri.
Namun setelah pihak Unifil merasakan Kontinjen Malaysia telah berjaya menunjukkan komitmen yang tinggi dan mampu melaksanakan tugas lebih mencabar maka pada 18 Oktober 2008, Kontinjen Malaysia atau MALCON EAST 2 telah diberi KTJ seluas lapan kilometer persegi di Sektor Timur Unifil untuk diawasi.
Pada 18 Oktober 2008, pergerakan seramai 230 anggota ATM ke Sektor Barat Unifil yang dikenali sebagai MALCON WEST telah menyaksikan penambahan KTJ seluas 41 kilometer persegi dan menyebabkan penambahan kekuatan MALCON WEST dari 230 orang kepada 440 anggota dan mula dikenali sebagai MALBATT 1.
Pada 14 Oktober 2010, MALCON EAST 5 telah mula mengambil alih UNP 4-23 dan KTJ baru seluas enam kilometer persegi dari subunit INDBATT menjadikan keluasan KTJ MALCON EAST adalah 14 kilometer persegi. Ia peningkatan kawasan yang dulunya adalah cuma lapan kilometer persegi. Mulai 25 Februari 2011 pula, KTJ MALBATT 3 telah diperluaskan menjadi 140 kilometer persegi.
Semasa lawatannya, Ahmad Kamarulzaman juga mengunjungi penempatan MALCON EAST 6 di UNP 7-4 dan UNP 4-23 di Kem Kaokaba, Lebanon untuk berjumpa dengan anggota Pengaman Malaysia yang bertugas di MALCON EAST 6 diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd. Samin Mohd. Sih sebagai Komander MALCON EAST 6.
Beliau juga berpeluang berjumpa dengan Komander Sektor Timur Unifil, Brigadier Jeneral Miguel Acaniz Comz dan Timbalan Komander, Kolonel Joko Edi untuk bertukar-tukar pendapat dan mendapatkan maklum balas penugasan Kontinjen Malaysia di Sektor Timur Unifil.
MALCON EAST 6 tertumpu pada penugasan seperti pasukan pelindung kepada Markas Sektor Timur (UNP 7-2). Ini merupakan tugas utama yang diberikan oleh Markas Unifil mengikut perjanjian yang dimeterai dan dilaksanakan setiap hari selama 24 jam.
Selain itu MALCON EAST 6 telah ditugaskan bagi mengawal dua tempat pemeriksaan di E-2 dan E-5 bersama dengan Angkatan Bersenjata Lebanon (LAF).
Sementara itu, Pegawai Penerangan ME 6, Mejar Zainordin Hashim yang pertama kali menyertai misi pengaman bersyukur kerana terpilih untuk berbakti di bumi anbia itu.
"Pelbagai pengalaman diperoleh daripada penugasan melaksanakan operasi, pengutipan maklumat, kerjasama antara pelbagai negara dan yang paling penting perhubungan baik dengan penduduk setempat,'' katanya.
Bagi Pegawai Waran II Mathew anak Dundang yang bertugas sebagai Penyelia Peluru MALCON EAST 6, kehidupan di Lebanon amat berbeza dengan Malaysia.
"Keadaan muka bumi yang berbukit-bukau dan cuacanya yang tidak menentu membuatkan penugasan amat mencabar kepada kami,'' katanya.
Bagi Lt. Komander Komunikasi Sukmawati Talib pula, anggota wanita tiada masalah dalam melakukan tugas kerana mereka telah dilatih dalam setiap penugasan yang diberi.
"Kenangan manis apabila diberi peluang menyertai persembahan kebudayaan serta dapat memperkenal budaya rakyat Malaysia kepada masyarakat Lebanon,'' katanya.
No comments:
Post a Comment